KANGAR 28 Feb. - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) muncul juara keseluruhan Pertandingan Robot Universiti-universiti Malaysia 2012 (MURoC 2012) dengan meraih 15 mata menewaskan pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mendapat 13 mata.
Pencapaian terbaik itu diraih selepas pasukan UniMAP muncul sebagai naib johan bagi kategori Paintball Robot, tempat ketiga bagi kategori Rope Climbing Robot dan tempat keempat Fire Fighting Robot pada pertandingan yang berlangsung dari 24 hingga 26 Februari lalu di Dewan 2020 di sini.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, pencapaian UniMAP pada tahun ini adalah yang terbaik selepas tiga kali sesi penganjuran MURoC, sekali gus memperbaiki kedudukan tahun lalu iaitu di tempat kedua.
"Penyertaan yang diterima pada tahun ini sangat menggalakkan apabila 79 pasukan bertanding melibatkan 37 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), politeknik, Kolej Komuniti, Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan lain-lain institut teknikal.
"Dengan persaingan yang sangat sengit, saya berbangga kerana UniMAP masih mampu meraih juara keseluruhan sekali gus menerima piala pusingan yang diperkenalkan buat kali pertama tahun ini," katanya semasa berucap pada majlis penutup dan penyampaian hadiah MURoC 2012 baru-baru ini.
Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan majlis itu.
Turut berangkat Pro Canselor UniMAP, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah.
Kata Kamarudin, mulai tahun depan penyertaan MURoC akan dibuka kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia selain universiti luar negara.
MURoC 2012 yang merupakan pertandingan teknologi robotik dianjurkan khusus untuk memperkasa daya inovasi di kalangan mahasiswa.
Bagi kategori Paintball Robot, juara menjadi milik UiTM manakala tempat ketiga menjadi milik Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim.
Politeknik Sultan Ahmad Shah, Pekan, Pahang pula dinobatkan sebagai juara kategori Rope Climbing Robot manakala tempat kedua dimenangi Universiti Sains Malaysia (USM).
Bagi kategori Fire Fighting Robot, pasukan dari German Malaysia Institute (GMI) muncul juara selepas menewaskan pasukan Universiti Putra Malaysia (UPM) manakala Kolej Kemahiran Tinggi Mara pula di tempat ketiga.
Anugerah Khas Mikrocip selaku penaja rasmi MURoC diraih oleh pasukan dari Universiti Multimedia manakala gerai terbaik dimenangi oleh pasukan dari UniMAP.
Hadiah kepada pemenang pertandingan adalah wang tunai RM2,000 bagi tempat pertama, RM1,750 tempat kedua dan RM1,500 bagi tempat ketiga.
Bagi kategori gerai terbaik dan pembentang poster terbaik menerima hadiah RM500 manakala rekaan robot terbaik bagi setiap kategori, pemenang membawa pulang wang tunai RM300.
No comments:
Post a Comment